HARI RAYA DALAM ISLAM

Firman ALlah Ta’ala’ :

 . . .Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu bertakbir ( membesarkan) Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. Surah al-Baqarah : 185

حَدِيثُ أَبِي بَكْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ شَهْرَا عِيدٍ لا يَنْقُصَانِ رَمَضَانُ وَذُو الْحِجَّةِ *

Diriwayatkan daripada Abu Bakrah r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Dua bulan yang terdapat Hari Raya, tidak mengurangkan jumlahnya. Iaitu bulan Ramadan dan Zulhijah . – Riwayat Bukhari dan Muslim

 حَدِيثُ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا : أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَامَ يَوْمَ الْفِطْرِ فَصَلَّى فَبَدَأَ بِالصَّلاةِ قَبْلَ الْخُطْبَةِ ثُمَّ خَطَبَ النَّاسَ فَلَمَّا فَرَغَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَزَلَ وَأَتَى النِّسَاءَ فَذَكَّرَهُنَّ وَهُوَ يَتَوَكَّأُ عَلَى يَدِ بِلالٍ وَبِلالٌ بَاسِطٌ ثَوْبَهُ يُلْقِينَ النِّسَاءُ صَدَقَةً

Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w berdiri mendirikan sembahyang pada Hari Raya Fitrah. Baginda memulakannya dengan sembahyang sebelum berkhutbah. Sesudah itu barulah baginda mulai berkhutbah kepada orang ramai. Apabila selesai Nabi s.a.w turun dan menghampiri kaum wanita. Baginda memberi peringatan kepada mereka, sambil bertumpang pada tangan Bilal. Bilal membentangkan pakaiannya dan para wanita mulai memberi sedekah * Riwayat Bukhari dan Muslim.

حَدِيثُ أُمِّ عَطِيَّةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ : أَمَرَنَا تَعْنِي النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نُخْرِجَ فِي الْعِيدَيْنِ الْعَوَاتِقَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ وَأَمَرَ الْحُيَّضَ أَنْ يَعْتَزِلْنَ مُصَلَّى الْمُسْلِمِينَ *

Diriwayatkan daripada Ummu Atiyyah r.a katanya: Kami telah diperintahkan oleh Nabi s.a.w supaya keluar pada Hari Raya. Begitu juga kanak-kanak perempuan yang telah baligh, gadis-gadis pingitan dan diperintahkan juga wanita-wanita yang sedang haid supaya keluar pada Hari Raya serta diperintahkan agar mengasingkan mereka dari tempat sembahyang kaum muslimin * Riwayat Bukhari dan Muslim.

Lafaz Takbir Hari Raya

الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ والله أكبر , الله أكبر ولله الْحَمْدُ

الله أكبر كبيرا والحمد لله كثيرا وسبحان الله بكرة وأصيلا

لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ ولانعبد إلا إياه مخلصين له الدين ولو كره الكافرون

لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ ( وأعز جنده ) وَهَزَمَ الأحْزَابَ وَحْدَهُ

لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ والله أكبر

Sempena menyambut hari raya ini, marilah kita merenung sebuah hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, berkaitan dengan konsep ‘hari raya’ yang lebih luas. Menurutnya, Nabi Muhammad saw. bersabda hari raya yang sebenarnya bagi orang beriman itu ada pada 5 masa:

1. Setiap hari ia berjalan dan bertemu seorang yang beriman serta ia tidak melakukan sebarang dosa, itu ialah hari raya baginya.

2. Hari keluarnya dari dunia dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan

3. Hari menyeberang Siratul Mustakim dan terselamat dari bencana jatuh ke dalam api neraka

4. Hari kita masuk syurga dengan selamat dan terlepas dari api neraka

5. Hari ia menatap wajah Allah Ta’ala

Menurut Nabi Muhammad saw. Hari Raya bagi setiap orang beriman ada pada 5 ketika; iaitu setiap hari yang dia tidak melakukan sebarang dosa, saat meninggal dunia dalam husnul-khatimah, hari berjaya melintasi Siratul-Mustakim dan terselamat dari masuk ke neraka, masuk ke dalam syurga dan hari dia mengadap Allah Taala.

Sekiranya kita tidak melakukan sebarang dosa pada sesuatu hari, itu adalah hari raya bagi kita. Kalaulah kita berusaha sungguh-sungguh menghindarkan diri melakukan sebarang dosa dengan menjauhi larangan Allah serta mematuhi segala perintah Allah, hari itu adalah sebenarnya hari raya bagi kita.

Saat menghembuskan nafas terakhir dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan juga termasuk dalam ‘hari raya’ yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad saw. Saat sakratul-maut adalah masa yang paling genting bagi setiap individu. Kesakitannya yang amat sangat bukan saja menimpa jasad bahkan rohnya juga; seperti yang digambarkan oleh ulama kesakitannya lebih dahsyat daripada dipalu dengan 1000 pedang, atau digunting dengan beberapa gunting atau digergaji dengan beberapa gergaji. Malahan dikatakan saat sakrat adalah hari kiamat bagi si-mati.

Menurut Imam Ghazali kesusahan mati itu 3, pertama kesakitan sakrat, kedua kesusahan melihat kedatangan malaikatul-maut dengan mukanya yang amat bengis dan ketiga kesusahan jika dinampakkan tempat kediaman di neraka (jika ahli maksiat). Sudahlah tidak tertahan dengan kedahsyatan yang amat sangat, syaitan pula sibuk menangguk di air keruh. Di saat inilah dia menjalankan taktik dan strategi terakhir untuk menumpaskan kita.

Hanya orang yang Allah tetapkan mati dalam husnul khatimah saja terlepas dari tipu dayanya. Berjayanya kita di saat ini barulah kita dapat menikmati hari raya sebenarnya. Namun alam perkuburan merupakan alam yang penuh dengan peristiwa-peristiwa dahsyat. Bagi orang mukmin, ia merupakan satu taman dari taman-taman syurga, sebaliknya bagi orang kafir, alam barzakh adalah satu pintu dari pintu neraka.

Hari Raya seterusnya adalah hari kita berjaya melepasi api neraka selepas merentas Titian Siratul Mustaqim. Sebelum menyeberang jambatan yang direntang di atas kawah neraka, setiap individu disoal dan ditimbang amalan baik dan jahatnya. Selesai dari segala perhitungan tersebut barulah diperintah meniti Titian yang sangat tajam dan sangat halus ini.

Orang yang mengikut jalan lurus semasa di dunia selamat menyeberang dengan kelajuan yang pantas. Malangnya mereka yang menyeleweng dari jalan lurus di dunia gagal dan jatuh ke dalam api neraka. Bayangkan betapa dahsyat dan ngerinya berada di jambatan yang di bawahnya terdapat lautan api yang sentiasa mengait sesiapa saja yang berdosa. Andainya terlepas dari tercebur ke neraka, barulah boleh kita berhari raya.

Hari kita masuk syurga adalah hari raya seterusnya bagi orang beriman. Terlepasnya dari neraka bermakna kita akan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan dan kelazatan. Syurga adalah tempat manusia pilihan. Penghuni-penguni syurga dengan muka yang berseri-seri diberikan kerajaan yang sangat luas dengan mahligai yang besar serta menikmati pelbagai juadah yang lazat-lazat. Pendeknya mereka beroleh segala kelazatan dan terhindar dari segala seksa. Inilah sebenarnya hari raya bagi orang mukmin.

Hari raya yang paling meggembirakan orang beriman ialah di saat memandang wajah Agung Ilahi. Inilah kenikmatan yang paling agung dan lazat sehingga terlupa kelazatan dan kenikmatan syurga. Ia merupakan puncak atau klimaks kenikmatan orang beriman.

Memandangkan kita belum pun menempuh saat-saat di atas, sepatutnya kita berasa cemas dan berwaspada. Dalam masa kita bersuka ria menyambut hariraya ini, lintaskanlah di hati sanubari kita bahawa hari raya sebenarnya belum kita tempuhi lagi. Amat jauh terpesongnya budaya kita yang menyambut hariraya dengan maksiat seperti hiburan, nyanyian, tarian dan pelbagai kegilaan yang melupakan kita akan hari raya sebenarnya.

Hari Raya Idilfitri hanya satu gambaran atau tamsilan bagi kita merenung bahawa Allah akan membalas dengan ganjaran baik jika berjaya melepasi rintangan hawa nafsu dan mengendalikan hidup mengikut cara yang Allah redhai.

Mudah-mudahan hariraya yang kita hadapi ini tidak berakhir di sini saja, sama-samalah kita berdoa semoga ia berterusan sehinggalah kita berjaya melepasi sakratul-maut, titian siratul-mustaqim, menjadi penghuni syurga dan akhirnya mengadap zat Allah Taala di syurga kelak.

والله أعلم

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen

GOLONGAN YANG GUGUR DI SEPANJANG JALAN DAKWAH

المتساقطون على طريق الدعوة

Muqaddimah

Gejala keguguran dari jalan dakwah adalah merupakan gejala umum, besar dan berulang-ulang. Ianya berlaku di mana-mana sahaja. Seorang yang dulunya aktif, hebat dan bertanggungjawab tiba-tiba hilang begitu sahaja.

Ada di antara mereka yang meninggalkan dakwah tetapi tidak meninggalkan Islam. Ada pula yang meninggalkan dakwah dan Islam sekaligus. Ada yang mengasaskan jamaah baru . Ada yang mengabungkan dengan jamaah lain dan sebagainya.

Keguguran Di Zaman Baginda saw.

1. Peristiwa dalam perang Tabuk – – – – Kaab bin Malik, Murarah bin arRabik dan Hilal bin Umayyah.

2. Pembocoran rahsia kerajaan Islam —— Hatib bin Abi Baltaah.

3. Dan lain-lain.

Sebab-Sebab Berlakunya Keguguran

• Pertama : Sebab dalaman gerakan Islam

• Kedua : Sebab kelemahan individu

• Ketiga : Sebab luaran gerakan Islam

Pertama : Sebab dalaman gerakan Islam

a- Lemahnya tarbiyyah terutamanya bagi para pemimpin yang sepatutnya berakhlak Islam dan segala kerja terikat dengan Allah, ikhlas semata-mata kerana Allah. Hubungan anggota dengan harakah hendaklah berasaskan hubungannya dengan Allah dan Islam. Mereka tidak boleh lari dari suasana iman, tarbiyyah dan kerohanian. Walaubagaimana sibukpun setiap anggota jamaah samada peringkat jundi atau pimpinan mesti mengikuti program tarbiyyah.

b- Meletakkan anggota jamaah di tempat yang tidak sesuai tanpa mengambil kira keupayaan, kecenderongan, kebolehan, kelemahan dan kekurangan anggota. Ini mestilah diambil kira untuk semua bidang samada tarbiyyah, politik, harta-ekonomi atau riyadah.

c- Tidak membahagi-bahagikan kerja kepada anggota jamaah. Pengagihan kerja hendaklah betul dan tidak tertumpu pada sekumpulan kecil sahaja, sebahagian besar yang lain tidak ada kerja dakwah. Ini mengakibatkan hubungan anggota dengan jamaah dan hubungan anggota dengan anggota menjadi lemah. Akhirnya berlakulah kelemahan, keciciran dan keguguran.

d- Tidak mengambil berat hal ahli. Setiap orang ada masalah samada masalah peribadi, keluarga, kewangan, kejiwaan dan sebagainya. Oleh itu hubungan anggota mestilah berdasarkan kerohanian – taaruf, tafahum dan takamul mestilah wujud.

e- Tidak menyelesaikan masalah yang timbul dengan segera, akhirnya menjadi bertimbun, bercabang-cabang dan melahirkan pula masalah baru. Ini adalah kerana kelemahan pucuk pimpinan, kelemahan pentadbiran dan terlalu besar atau luasnya program-amal dakwah.

f- Berlakunya pertikaian dalaman (very dangerous) – rosak hubungan anggota, kerja dakwah terbengkalai dan timbul campurtangan luar, akhirnya hancur jamaah. Ini disebabkan oleh :

a- Kelemahan pemimpin untuk memimpin.

b- Campurtangan kuasa luar

c- Berebut jawatan

d- Tidak iltizam dengan dasar dan keputusan jamaah

e- Kerja tak ada menyebabkan ahli tidak berkembang.

Kedua : Sebab kelemahan individu

a- Tabii yang tidak tetap, masuk gerakan sesuatu tarikan.

b- Takut sesuatu ke atas diri dan rezeki (ekonomi).

c- Melampau (ekstream) – tidak berdasarkan keupayaan dan mustakjilun.

d- Sifat bermudah-mudah dan sambil lewa dalam mengerjakan perintah Allah dan hukum-hakam akan bermudah dalam semua perkara.

e- Terperdaya dengan kedudukan dan menonjol diri – merosakkan diri dan pahala amalan.

f- Dengki pada orang lain terutama qiadah.

g- Fitnah senjata..

Ketiga : Sebab luaran gerakan Islam

a- Tekanan ujian dan tribulasi.

b- Tekanan keluarga terutama anak, isteri dan ibubapa.

c- Tekanan persekitaran, biiah yang ada samada solehah atau tolehah.

d- Tekanan gerakan merbahaya yang meragukan samada dari segi aqidah, kerohanian, kebendaan dan lainnya.

e- Tekanan bermuka-muka dan menunjuk diri akibat penyakit takabbur, riyak, ujub dan lainnya.

Akibat Buruk Keguguran Kepada Perjuangan Islam

 Menyebabkan tersebarnya fitnah serta meracuni gerakan yang boleh meruntuh dan merugikan Islam dan dakwah

 Terbuka rahsia-rahsia yang tidak mungkin terbuka.

 Melemahkan gerakan dan menarik musuh untuk menghancurkannya.

 Menghilangkan kepercayaan orang ramai kepada gerakan Islam Dan segala perancangan mungkin terhenti/gagal.

Penutup

Kita berharap agar Allah akan sentiasa memelihara hati-hati kita supaya kekal di atas kerja-kerja Islam dan ikhlas, tidak tergopoh gapah mengejar sesuatu kejayaan yang bukan pada waktunya, tidak tergesa-gesa dalam memilih jalan dan cara yang tidak dikenali asal-usulnya.

Kesabaran di atas jalan yang jelas sekalipun panjang, sukar dan lambat ADALAH lenih mulia daripada berada di jalan yang mudah tetapi dipenuhi kesamaran, kepura-puraan dan kebatilan. Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan makhluk Allah ialah para Nabi dan Rasul as. Namun merekalah yang paling banyak dan getir menghadapi ujian dan tekanan. Semoga kita sentiasa mengingati pesanan Allah ini,

وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. – {al An’ am : 153}

والله أعلم

Posted in Uncategorized | 1 Komen

HAK DAN KEWAJIBAN SUAMI ISTERI

Bergambar kenangan di perkarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Sharjah, UAE pada Mac 2010. Selalulah menemani isteri ketika susah dan senang….

HAK-HAK BERSAMA

1. Bersifat amanah.

2. Berkasih sayang.

3. Saling mempercayai.

4. Mengekalkan kerukunan rumahtangga.

5. Mengajar dan mendidik anak-anak.

KEWAJIBAN SUAMI TERHADAP ISTERI

a- Hendaklah mempergauli isteri dengan pergaulan yang baik. Terbahagi kepada dua iaitu nafqah zahir seperti makan, pakai & kediaman dan nafkah batin sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh empat bulan.

b- Mengajar isteri perkara-perkara Fardu Ain jika isteri jahil.

c- Mendidiknya dengan ajaran dan adab-adab Islam seperti dalam soal berpakaian, bersolek, bergaul dan sebagainya.

iv- Menjaga maruah dan rahsia isteri.

KEWAJIBAN ISTERI TERHADAP SUAMI

a- Mentaati suami dalam perkara yang tidak maksiat.

b- Memelihara maruah, anak-anak dan harta suami.

c- Sentiasa dalam rumah, keluar dengan izin suami sahaja.

d- Menjaga maruah dan kehormatannya.

Posted in Uncategorized | 1 Komen

KONSEP AMAL SOLEH DALAM ISLAM

PENGERTIANNYA

Amal soleh ialah segala perbuatan yang diredhai dan disukai oleh Allah. Ianya hendaklah memenuhi dua syarat iaitu;

a- Perbuatan itu hendaklah selaras dan bersesuaian dengan syariat Islam.

b- Perbuatan/perlakuan itu bertujuan untuk mendapat keredhaan daripada Allah.

Lihat firman Allah:

فمن كان يرجو لقاء ربه فليعمل عملا صالحا ولايشرك بعبادة ربه أحدا – الكهف 110

Maksudnya,”Barangsiapa yang bertemu dengan Tuhannya, hendaklah dia beramal yang baik dan janganlah ia menpersekutukan (mensyarikatkan) Allah dengan seseorang”.

Dapatlah disimpulkan bahawa amal soleh itu ialah amal-perbuatan yang yang benar dan sesuai dengan ajaran Islam dan berniat ikhlas dalam mengerjakan perbuatan-amal tersebut.

KEDUDUKAN AMAL SOLEH DALAM ISLAM

Ianya sangatlah penting kerana amal soleh itu adalah merupakan buah keimanan kepada Allah, hari Qiamat dan RasulNya. Amal soleh juga merupakan manifestasi (penyataan) kepada ucapan syahadahnya.

Di dalam al-Quran banyak ayat yang mengaitkan amal soleh dengan keimanan, firman Allah :

إن الذين ءامنوا وعملوا الصلحات إنّا لانضيع أجر من أحسن عملا – الكهف 30

Maksudnya, : Sesungguhnya mereka yang beriman dan beramal soleh, tentulah Kami tidak akan mensia-siakan pahala orang yang mengerjakan amalan dengan baik:

FirmanNya lagi,

والعصر إن الإنسان لفى خسر إلا الذين ءامنوا وعملوا الصالحات

MENGANUT ISLAM ADALAH SYARAT DITERIMA AMALAN

Supaya amal soleh diterima oleh Allah, seseorang itu hendaklah beriman atau menjadi seorang Islam. Firman Allah,

ومن يبتغ غير الإسلام دينا فلنيقبل منه وهو فى الأخرة من الخاسرين

Maksudnya, : Barangsiapa mencari selain daripada Islam sebagai agama, maka tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya DAN di akhirat termasuk di kalangan orang yang rugi : Surah Aali – Imran (85).

BENTUK-BENTUK AMAL SOLEH

Amal soleh ada beraneka ragam, yang mencakup segala yang diperintah oleh Allah s.w.t, samada yang wajib atau yang dianjurkan (sunat). Begitu juga dalam perkara ibadah atau bidang muamalah seperti jual-beli. Maka apabila seorang muslim berbuat kerana Allah dan mengikuti petunjuk agama,dia dianggap telah berbuat amal-soleh.

Dan amal soleh yang terpenting adalah ibadah dan diantara ibadah yang terpenting ialah sembahyang, puasa, zakat dan haji. Ibadah-ibadah yang seperti ini termasuk dalam rukun Islam yang sama sekali tidak boleh diabaikan dan tidak boleh dianggap remeh.

PENTINGNYA IBADAH DALAM ISLAM

Ibadah dalam Islam adalah merupakan tali penghubung antara seorang hamba dengan Tuhannya,dan juga sebagai bukti pengakuannya sebagai hamba Allah.Ibadah adalah hak Allah terhadap hambanya dan ibadah yang terpenting diantara ibadah itu ialah sembahyang.

Ibadah ini wajib dipelihara dengan sebaik-baiknya dan orang lain diajak untuk beribadah dan sekali-sekali ibadah itu tidak boleh dianggap tidak penting.Ibadah ini secara umumnya untuk memperkuat keimanan dan menanam iman itu kedalam setiap jiwa orang yang muslim. Ibadah sangat penting bagi manusia seperti pentingnya air bagi tumbuh-tumbuhan, dan iman seseorang akan bertambah kalau ibadah itu dilaksanakan.

PENTINGNYA IBADAH SEMBAHYANG

Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadith-hadith Nabi saw yang menyatakan sangat pentingnya solat (sembahyang). Firman Allah,

وأقيموا الصلاة ولاتكونوا من المشركين – الروم 31

Maksudnya, : Dan dirikanlah oleh mu solat dan janganlah kamu menjadi orang-orang musyrikin.*

Sabda Nabi saw,

بين العبد وبين الكفر ترك الصلاة

Maksudnya,* Perbedaan antara hamba Allah dan kekafiran ialah meninggalkan solat.*

العهد الذى بيننا وبينهم الصلاة فمن تركها فقد كفر

Maksudnya: *Janji yang diikat antara kita dan mereka ialah solat, barangsiapa meninggalkannya menjadi kafirlah ia*.

Terdapat tiga pandangan Ulamak mengenai orang yang tinggalkan solat kerana malas. Dia mengaku solat itu wajib tetapi malas menunaikannya:

1- Ditakzir iaitu dipenjara seumur hidup sehingga bertaubat.

2- Dihadkan iaitu dijatuhkan hukuman hudud dengan dpancung tengkuknya.

3- Tetap menjadi kafir atau murtad keluar daripada Islam.

PEMBAHAGIAN IBADAH

Terdapat dua bahagian ibadah iaitu ibadah Khusus dan ibadah Umum.

1- Ibadah khusus adalah seperti solat, puasa, zakat, tilawah al-Quran dan zikir.

2- Ibadah umum ialah segala perkara atau pekerjaan yang harus dilakukan bertujuan mendapat keredhaan Allah.

Ada beberapa syarat yang membolehkan setiap amalan duniawi ( pakaian, makan dll) menjadi ibadah. Antaranya:

a- Niat ikhlas kerana Allah.

b- Amalan atau pekerjaan itu diluluskan oleh syarak atau tidak menyalahi ajaran Nabi Muhammad saw.

c- Tidak lalai atau cuai atau meninggalkan ibadah-ibadah yang khusus (fardu) seperti solah dan puasa.

d- Sentiasa berpandukan hukum-hukum syarak seperti tidak menipu, menindas, rasuah dan lainnya.

PENUTUP

Sabda Nabi saw,

اغتنم خمسا قبل خمس شبابك قبل هرمك وصحتك قبل سقمك وغناك قبل فقرك وفراغك قبل شغلك وحياتك قبل موتك – رواه الترمذى

* Rebutlah lima perkara sebelum tiba lima perkara yang lain. Mudamu sebelum tuamu. Sihatmu sebelum sakitmu. Kayamu sebelum fakirmu.Waktu lapangmu sebelum sibukmu. Hidupmu sebelum matimu.*

والله أعلم

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen

MAD SEPANGGAR – MISI SEORANG DAIE

Assalamualaikum sahabat-sahabat sekalian,

Selamat datang blog saya Misi Seorang Daie yang baru beroperasi hari ini. Pada asalnya blog ini dibina bagi memenuhi kerja kursus  pengajian saya dalam subjek Teknologi Maklumat Dakwah Islam PM3032 Jabatan Pengajian Dakwah & Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia.

Terima kasih kepada pensyarah Ust Mohammad Faisal yang telah memberikan bimbingan serta tunjuk ajar kepada kami semua. Tidak ketinggalan kepada raka-rakan sekelas yang telah banyak memberikan dorongan dan semangat sehingga terbinanya blog ini. (Walaupun kadang-kadang hangpa kutuk-kutuk aku).

InsyaALLAH blog ini tidak terhenti setakat ini sahaja bahkan akan diteruskan lagi perjuangannya sebagai wadah dakwah pada masyarakat khususnya kepada generasi muda masa kini.

Saya memohon pandangan dan komen yang membina daripada sahabat-sahabat sekalian. Terima kasih.

Posted in Uncategorized | 1 Komen