PENGERTIANNYA
Amal soleh ialah segala perbuatan yang diredhai dan disukai oleh Allah. Ianya hendaklah memenuhi dua syarat iaitu;
a- Perbuatan itu hendaklah selaras dan bersesuaian dengan syariat Islam.
b- Perbuatan/perlakuan itu bertujuan untuk mendapat keredhaan daripada Allah.
Lihat firman Allah:
فمن كان يرجو لقاء ربه فليعمل عملا صالحا ولايشرك بعبادة ربه أحدا – الكهف 110
Maksudnya,”Barangsiapa yang bertemu dengan Tuhannya, hendaklah dia beramal yang baik dan janganlah ia menpersekutukan (mensyarikatkan) Allah dengan seseorang”.
Dapatlah disimpulkan bahawa amal soleh itu ialah amal-perbuatan yang yang benar dan sesuai dengan ajaran Islam dan berniat ikhlas dalam mengerjakan perbuatan-amal tersebut.
KEDUDUKAN AMAL SOLEH DALAM ISLAM
Ianya sangatlah penting kerana amal soleh itu adalah merupakan buah keimanan kepada Allah, hari Qiamat dan RasulNya. Amal soleh juga merupakan manifestasi (penyataan) kepada ucapan syahadahnya.
Di dalam al-Quran banyak ayat yang mengaitkan amal soleh dengan keimanan, firman Allah :
إن الذين ءامنوا وعملوا الصلحات إنّا لانضيع أجر من أحسن عملا – الكهف 30
Maksudnya, : Sesungguhnya mereka yang beriman dan beramal soleh, tentulah Kami tidak akan mensia-siakan pahala orang yang mengerjakan amalan dengan baik:
FirmanNya lagi,
والعصر إن الإنسان لفى خسر إلا الذين ءامنوا وعملوا الصالحات
MENGANUT ISLAM ADALAH SYARAT DITERIMA AMALAN
Supaya amal soleh diterima oleh Allah, seseorang itu hendaklah beriman atau menjadi seorang Islam. Firman Allah,
ومن يبتغ غير الإسلام دينا فلنيقبل منه وهو فى الأخرة من الخاسرين
Maksudnya, : Barangsiapa mencari selain daripada Islam sebagai agama, maka tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya DAN di akhirat termasuk di kalangan orang yang rugi : Surah Aali – Imran (85).
BENTUK-BENTUK AMAL SOLEH
Amal soleh ada beraneka ragam, yang mencakup segala yang diperintah oleh Allah s.w.t, samada yang wajib atau yang dianjurkan (sunat). Begitu juga dalam perkara ibadah atau bidang muamalah seperti jual-beli. Maka apabila seorang muslim berbuat kerana Allah dan mengikuti petunjuk agama,dia dianggap telah berbuat amal-soleh.
Dan amal soleh yang terpenting adalah ibadah dan diantara ibadah yang terpenting ialah sembahyang, puasa, zakat dan haji. Ibadah-ibadah yang seperti ini termasuk dalam rukun Islam yang sama sekali tidak boleh diabaikan dan tidak boleh dianggap remeh.
PENTINGNYA IBADAH DALAM ISLAM
Ibadah dalam Islam adalah merupakan tali penghubung antara seorang hamba dengan Tuhannya,dan juga sebagai bukti pengakuannya sebagai hamba Allah.Ibadah adalah hak Allah terhadap hambanya dan ibadah yang terpenting diantara ibadah itu ialah sembahyang.
Ibadah ini wajib dipelihara dengan sebaik-baiknya dan orang lain diajak untuk beribadah dan sekali-sekali ibadah itu tidak boleh dianggap tidak penting.Ibadah ini secara umumnya untuk memperkuat keimanan dan menanam iman itu kedalam setiap jiwa orang yang muslim. Ibadah sangat penting bagi manusia seperti pentingnya air bagi tumbuh-tumbuhan, dan iman seseorang akan bertambah kalau ibadah itu dilaksanakan.
PENTINGNYA IBADAH SEMBAHYANG
Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadith-hadith Nabi saw yang menyatakan sangat pentingnya solat (sembahyang). Firman Allah,
وأقيموا الصلاة ولاتكونوا من المشركين – الروم 31
Maksudnya, : Dan dirikanlah oleh mu solat dan janganlah kamu menjadi orang-orang musyrikin.*
Sabda Nabi saw,
بين العبد وبين الكفر ترك الصلاة
Maksudnya,* Perbedaan antara hamba Allah dan kekafiran ialah meninggalkan solat.*
العهد الذى بيننا وبينهم الصلاة فمن تركها فقد كفر
Maksudnya: *Janji yang diikat antara kita dan mereka ialah solat, barangsiapa meninggalkannya menjadi kafirlah ia*.
Terdapat tiga pandangan Ulamak mengenai orang yang tinggalkan solat kerana malas. Dia mengaku solat itu wajib tetapi malas menunaikannya:
1- Ditakzir iaitu dipenjara seumur hidup sehingga bertaubat.
2- Dihadkan iaitu dijatuhkan hukuman hudud dengan dpancung tengkuknya.
3- Tetap menjadi kafir atau murtad keluar daripada Islam.
PEMBAHAGIAN IBADAH
Terdapat dua bahagian ibadah iaitu ibadah Khusus dan ibadah Umum.
1- Ibadah khusus adalah seperti solat, puasa, zakat, tilawah al-Quran dan zikir.
2- Ibadah umum ialah segala perkara atau pekerjaan yang harus dilakukan bertujuan mendapat keredhaan Allah.
Ada beberapa syarat yang membolehkan setiap amalan duniawi ( pakaian, makan dll) menjadi ibadah. Antaranya:
a- Niat ikhlas kerana Allah.
b- Amalan atau pekerjaan itu diluluskan oleh syarak atau tidak menyalahi ajaran Nabi Muhammad saw.
c- Tidak lalai atau cuai atau meninggalkan ibadah-ibadah yang khusus (fardu) seperti solah dan puasa.
d- Sentiasa berpandukan hukum-hukum syarak seperti tidak menipu, menindas, rasuah dan lainnya.
PENUTUP
Sabda Nabi saw,
اغتنم خمسا قبل خمس شبابك قبل هرمك وصحتك قبل سقمك وغناك قبل فقرك وفراغك قبل شغلك وحياتك قبل موتك – رواه الترمذى
* Rebutlah lima perkara sebelum tiba lima perkara yang lain. Mudamu sebelum tuamu. Sihatmu sebelum sakitmu. Kayamu sebelum fakirmu.Waktu lapangmu sebelum sibukmu. Hidupmu sebelum matimu.*
والله أعلم